MELAKA: Seorang bekas pembantu operasi sebuah institusi pendidikan di negeri ini direman lima hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan selepas dipercayai menerima suapan berjumlah RM7,500 daripada beberapa kontraktor penyelenggaran, dua tahun lalu.
Perintah reman sehingga 11 Mei ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap suspek berusia 41 tahun itu.
Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam selepas hadir ke Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, suspek yang kini telah berpindah tempat bertugas disyaki menerima suapan bagi membantu mempercepatkan proses bayaran kerja yang dilakukan kontraktor-kontraktor berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Sabit kesalahan suspek boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – UTUSAN










