MELAKA: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memukul anak dan adik kandungnya, Januari lalu.
Tertuduh berusia 46 tahun itu mengaku tidak bersalah sejuruh dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak lelakinya berumur 15 tahun dan adik perempuannya berusia 25 tahun semasa mangsa berada di dapur dan halaman rumah.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7 pagi di sebuah rumah di Kampung Tersusun Bukit Larang, Pernu dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Januari 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahu atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jumlah jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan tidak berkemampuan dan mempunyai tanggungan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 15 Julai ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN










