Satu perjalanan tren kargo ECRL kurangkan 79 lori di lebuh raya

Satu perjalanan tren kargo ECRL kurangkan 79 lori di lebuh raya

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu perjalanan tren kargo East Coast Rail Link (ECRL) mampu menggantikan kira-kira 79 buah lori di lebuh raya sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, pelepasan karbon dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tren kargo ECRL yang terdiri sehingga 45 gerabak mampu membawa muatan kira-kira 3,150 tan dalam satu perjalanan.

Katanya, kapasiti itu menjadikan ECRL sebagai alternatif kepada pengangkutan barangan menggunakan lori khususnya bagi laluan antara negeri di Pantai Timur ke kawasan perindustrian, hab logistik dan Pelabuhan Klang.

“Melalui peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel atau road-to-rail, perkhidmatan ECRL berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berat seperti lori di lebuh raya utama termasuk laluan yang menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang. 

“Perkara ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada pengurangan kesesakan, risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat, kerosakan jalan, serta meningkatkan kelancaran aliran trafik khususnya di laluan berkepadatan tinggi,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai sejauh mana penggunaan ECRL bagi pergerakan kargo dapat membantu mengurangkan jumlah kenderaan berat di lebuh raya sekali gus meningkatkan keselamatan dan kelancaran aliran trafik.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, keberkesanan ECRL dalam mengurangkan jumlah kenderaan berat di lebuh raya bergantung kepada beberapa faktor termasuk tahap penggunaan perkhidmatan itu oleh pemain industri.

Katanya, antara faktor lain ialah integrasi dengan pelabuhan dan hab logistik, struktur tarif yang kompetitif serta kesediaan rangkaian sambungan penghantaran first-mile dan last-mile.

“Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus menggalakkan penggunaan rel sebagai mod pengangkutan kargo yang lebih cekap, selamat dan mampan. 

“Inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat untuk meningkatkan peralihan mod pengangkutan atau transport modal shift daripada jalan raya kepada rel, di samping menyokong agenda keselamatan jalan raya, kelestarian alam sekitar dan kecekapan rantaian logistik negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN