Pendengaran semakan kehakiman kes Teoh Beng Hock ditangguh hingga November

Pendengaran semakan kehakiman kes Teoh Beng Hock ditangguh hingga November

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendengaran permohonan semakan kehakiman keluarga Teoh Beng Hock berhubung kematian bekas pembantu politik itu yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai ini ditangguhkan sehingga November depan.

Penangguhan itu dibuat berikutan pasukan guaman keluarga berkenaan tidak dapat hadir pada tarikh asal pendengaran.

Wakil keluarga,Teoh Lee Lan berkata, tarikh baharu pendengaran akan diumumkan sebaik sahaja ditetapkan oleh mahkamah.

“Pendengaran yang dijadualkan pada 23 Julai ini sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noorizah Mohd. Ashraf bagi menentukan permohonan keluarga untuk mendapatkan lanjutan masa memfailkan semakan kehakiman.

“Keluarga berharap mahkamah memberikan lanjutan masa bagi membolehkan permohonan semakan kehakiman didengar demi memastikan usaha mendapatkan keadilan dan pertanggungjawaban dalam kes itu dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keluarga Beng Hock turut menyeru orang ramai supaya terus mengikuti perkembangan kes berkenaan serta menghargai sokongan yang diberikan pelbagai pihak sepanjang hampir dua dekad usaha mereka menuntut keadilan.

Pada 17 April lalu, keluarga Beng Hock memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap lima responden iaitu Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia.

Menerusi permohonan itu, keluarga mendakwa berlaku kecuaian di pihak responden dan memohon perintah mahkamah supaya polis membuka semula serta menjalankan siasatan baharu terhadap kematian Teoh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Pemohon terdiri daripada ibu bapanya, Teoh Leong Hwee dan Cheong Siew Fah, serta abangnya, Teoh Meng Kee.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan, keluarga hanya mengesahkan pada Januari lalu bahawa polis tidak pernah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan selepas menerima surat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Selangor bertarikh 20 Januari 2026.

Sebelum itu, surat-menyurat yang diterima daripada polis hanya merujuk kepada siasatan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kurungan salah.

Sehubungan itu, keluarga memfailkan permohonan semakan kehakiman dalam tempoh tiga bulan selepas memperoleh pengesahan berkenaan dan menegaskan tiada kelewatan disengajakan di pihak mereka.

Keluarga turut menegaskan bahawa hampir 17 tahun berlalu sejak kematian Beng Hock, namun sehingga kini tiada mana-mana individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan didakwa di mahkamah meskipun Mahkamah Rayuan sebelum ini telah membuat keputusan berhubung kes tersebut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN