MELAKA: Seorang bekas anggota Tentera Darat berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 17 pertuduhan mencabul dan mencederakan rakan setugasnya.
Tertuduh, Mohd. Amanah Habhijullah, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman sebaik sahaja kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan 15 kertas pertuduhan terhadapnya, tertuduh didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang lelaki berusia 20 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa yang juga seorang anggota tentera berpangkat prebet.
Perbuatan itu dilakukan di Bilik Bujang Tingkat Dua, Villa Kesatria, 73, Batalion Ordnans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah sekitar tengah malam hingga pukul 6 pagi antara 25 Ogos 2023 hingga 14 Oktober 2023.
Mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa dan lokasi sama, pada pukul 2 pagi, 15 Oktober 2023 dan pukul 3 petang, 16 Oktober 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan keseluruhan berjumlah RM134,000.
Bagaimanapun, peguam S. Daniel merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya yang kini dalam proses diberhentikan kerja hanya bergantung kepada wang simpanan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan yang bermastautin di Melaka.
Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan serta dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai. – UTUSAN










