Ahli perniagaan dibenar dapatkan fakta siasatan SPRM

Ahli perniagaan dibenar dapatkan fakta siasatan SPRM

SIM CHOO THIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan seorang Datuk Seri yang juga seorang ahli perniagaan mendapatkan penyataan bertulis berhubung empat pertuduhan rasuah RM15 juta yang dihadapinya berkait projek Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim K. Muniandy dalam keputusannya menyatakan, kenyataan bertulis yang memihak kepada pembelaan tidak sama sekali menjejaskan budi bicara pendakwaan dan tidak menghalang kuasa siasatan SPRM.

Katanya, kuasa penyiasatan SPRM tidak terhad sehingga perbicaraan berakhir kerana mungkin terdapat keadaan tidak dijangka yang memerlukan siasatan tambahan.

Sehubungan itu, katanya, tertuduh berdepan isu ketidakadilan yang sepatutnya diperbetulkan oleh mahkamah sebagaimana yang diperuntukkan oleh seksyen 51A (1) (c) Kanun Tatacara Jenayah digunakan dengan betul.

Pada 27 September tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menolak permohonan tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam, supaya pendakwaan menyerahkan pernyataan bertulis fakta kepadanya dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Rozina membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan berkenaan boleh diperbaiki dan tidak memprejudis tertuduh.

Menurut Choo Thiam, fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu SPRM hanya merekod kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei 2023 selepas Choo Tiam didakwa pada hari sama.

Begitu juga fakta bahawa kedua-dua pernyataan beramaran beliau yang direkod SPRM pada 16 dan 28 Februari tahun lalu, masing-masing mengandungi pelbagai pernyataan yang melepaskan dan tidak menyokong mana-mana unsur kesalahan dalam setiap pertuduhan rasuah terhadapnya.

Pada 10 Mei tahun lalu, Choo Thiam mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2021.

Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn. Bhd., Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.

Choo Tiam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah Sesyen menetapkan perbicaraan kes Choo Thiam selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN