MELAKA: Seorang perunding motivasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di negeri ini, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Zulkarnain Atan, 43, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pelajar lelaki masing-masing berusia 21 tahun dengan cara mencium telinga, bahu dan meraba payu dara serta paha mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah malam dalam bilik sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Januari 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai perunding motivasi, mengalami penyakit slip disc dan turut menjalani rawatan mental.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan dan menetapkan 27 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










