MELAKA: Bekas Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd., Abu Bakar Jani didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan jawatan untuk melantik anak perempuannya sebagai penolong pegawai sumber manusia.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 64 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Pengurus Besar Syarikat Panorama Melaka Sdn. Bhd. didakwa terbabit dalam proses temuduga pemilihan jawatan dalam melantik anaknya ke jawatan penolong pegawai sumber manusia syarikat itu.
Kesalahan itu di alamat Lot 19B &19C Zon B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Disember 2018.
Mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Datuk Mohd. Khairul Nizam Abd. Kadir dan Zulfahmi Abu Bakar merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja atau mempunyai pencen dan perlu menanggung lima anak.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sekali dalam sebulan manakala pasport perlu diserah kepada mahkamah. – UTUSAN










