Siti Nordiana dan rakan artis berdamai, kes saman selesai

Siti Nordiana dan rakan artis berdamai, kes saman selesai

SITI Nordiana Alias bersama para peguamnya hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan saman fitnah terhadap lima sekawan. - IHSAN PEGUAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah penyanyi, Siti Nordiana Alias terhadap lima rakan artis berkaitan siaran langsung dalam Instagram (IG), selesai secara baik selepas kedua-dua pihak saling bermaafan dan memilih tidak memanjangkan perbicaraan yang berlarutan selama dua tahun.

Siti Nordiana, 39, dan lima sekawan itu sepakat menyelesaikan kes di Mahkamah Tinggi di sini semalam dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian yang dicapai kedua-dua pihak.

Lima sekawan selaku defendan ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin bersama-sama Ahmad Syaiful Bakri Mohamed yang mewakili Siti Nordiana memaklumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah manakala peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Sam Musyadzafar.

Keenam-enamnya kemudian membacakan pernyataan maaf masing-masing di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan.

Beliau kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Dalam pada itu, pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu antara lain menyebut: “Permohonan maaf ini adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.

“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata mereka dalam pernyataan itu.

Siti Nordiana sepatutnya menyambung keterangan semalam pada sesi pemeriksaan balas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN