Pendakwa dibenar pinda 3 pertuduhan Najib dalam kes 1MDB - Utusan Malaysia

Pendakwa dibenar pinda 3 pertuduhan Najib dalam kes 1MDB

NAJIB Tun Razak diiringi pihak penjara ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda tiga pertuduhan dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pertuduhan itu berkaitan dua kesalahan pengubahan wang haram dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar beberapa dokumen bank diterima masuk dan digunakan pada perbicaraan itu.

Mahkamah berpuas hati bahawa pindaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu hanya melibatkan jumlah wang manakala naratif pendakwaan melibatkan pertuduhan dalam kes itu tidak berubah.

Kata beliau, pindaan itu dibuat hasil daripada keterangan dua saksi pendakwaan yang mempunyai pengetahuan khusus terhadap jejak aliran wang yang dikemukakan ketika perbicaraan.

Hakim Collin berpendapat, pendakwaan tidak mempunyai sebarang niat jahat dalam permohonan untuk meminda tuduhan berkenaan seperti yang didakwa pembelaan dan ia tidak memprejudiskan tertuduh.

Kata Hakim Collin, pihak pendakwaan berhak untuk memanggil semula saksi-saksinya pada perbicaraan kelak untuk memperbetulkan jumlah amaun dalam pertuduhan.

Ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda itu kemudian dibaca semula bagi membolehkan pengakuan diambil daripada Najib. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.

Mahkamah sepatutnya menyambung prosiding pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-48(SP48), Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner (ACP) Foo Wei Min.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan hingga esok atas alasan Najib masih belum sihat sepenuhnya manakala beberapa peguam daripada pasukan pembelaan dijangkiti Covid-19.

Sebelum ini, Muhammad Shafee meminta pihak pendakwaan mengekalkan atau menarik balik tiga pertuduhan itu berbanding memindanya.

Hujah beliau, permohonan pindaan dibuat pada peringkat akhir perbicaraan menyebabkan ia tidak adil kepada tertuduh, selain pendakwaan tidak seharusnya mengubah pendirian mereka.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah, pindaan itu sama sekali tidak akan memprejudis atau merugikan tertuduh kerana bekas Perdana Menteri itu akan diberi setiap peluang untuk membela diri.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan memohon pindaan bagi tuduhan keempat berhubung tuduhan salah guna kedudukan dan tuduhan ke-10 serta ke-21 bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Tuduhan keempat menyatakan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dituduh menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM44.9 juta dan pendakwaan mahu meminda jumlah berkenaan kepada RM44.6 juta.

Bagi dua lagi tuduhan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan hasil aktiviti haram berjumlah RM652.6 juta dan RM12.4 juta dan pendakwaan memohon meminda jumlah itu masing-masing kepada RM515.7 juta dan RM11.4 juta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya