Semakan pertengahan penggal KKDW nilai prestasi program, inisiatif agensi

Semakan pertengahan penggal KKDW nilai prestasi program, inisiatif agensi

AHMAD Zahid Hamidi ketika merasmikan pelan strategik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2026-2030 pada Majlis Perhimpunan Bulan Jun KKDW di Putrajaya.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu Semakan Pertengahan Penggal dijadikan medan penilaian menyeluruh bagi melihat keberkesanan dasar, program dan inisiatif yang dilaksanakan kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semakan itu penting bagi mengenal pasti pencapaian yang telah berjaya direalisasikan, program yang masih tertangguh, pelaksanaan yang bergerak perlahan serta perkara yang memerlukan penambahbaikan segera.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, organisasi yang gagal menilai prestasi sendiri secara jujur dan objektif berisiko kehilangan hala tuju serta gagal memenuhi kehendak sebenar rakyat yang sentiasa berubah.

“Semakan Pertengahan Penggal adalah cerminan kepada keberkesanan kita sebagai sebuah kementerian yang memikul amanah besar kepada rakyat.

“Kita perlu tahu dengan jelas apa yang telah berjaya, apa yang masih tertangguh, apa yang bergerak perlahan, apa yang bertindih dan apa yang perlu diperbaiki,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Bulanan KKDW di sini hari ini.

Katanya, semakan itu perlu dilaksanakan secara objektif, berasaskan bukti dan berteraskan keberhasilan, bukannya sekadar menilai sama ada sesuatu program telah dilaksanakan atau peruntukan telah dibelanjakan.

Ahmad Zahid berkata, beliau mahu setiap program dinilai dari sudut relevansi kepada keperluan semasa rakyat serta impak sebenar yang dihasilkan kepada kumpulan sasar.

Menurutnya, terdapat enam aspek utama yang perlu dijadikan disiplin penilaian iaitu relevan, keberkesanan, kecekapan, impak, kemampanan dan kesepaduan antara program serta agensi pelaksana.

“Aspek kesepaduan amat penting kerana cabaran yang dihadapi masyarakat luar bandar tidak boleh diselesaikan melalui satu program atau satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan rentas fungsi dan ekosistem yang saling melengkapi.

“Pendapatan tidak boleh ditingkatkan dengan satu program sahaja dan mobiliti sosial tidak boleh dipacu oleh satu agensi sahaja. Ia memerlukan penyelarasan yang rapi dan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN