Eksekutif akaun didakwa pindah wang syarikat ke akaun peribadi

Eksekutif akaun didakwa pindah wang syarikat ke akaun peribadi

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas enam pertuduhan pecah amanah melarikan wang berjumlah RM680,126.13. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang eksekutif akaun sebuah syarikat pertanian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan pecah amanah melarikan wang berjumlah RM680,126.13, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, tertuduh sebagai eksekutif akaun di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd. didapati telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat terbabit ke dalam akaun bank miliknya berjumlah keseluruhan RM680,126.13.

Perbuatan itu dilakukan antara 24 Mei 2019 sehingga 23 Oktober 2019 di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd., Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka dalam daerah Melaka Tengah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin masing-masing mencadangkan jaminan RM40,000 dan RM80,000 selepas mengambil kira jumlah kerugian dialami syarikat terlibat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tidak dapat menyediakan wang dengan jumlah yang besar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM55,000 dan mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melapor diri sekali setiap awal bulan di balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN