Status tuntutan harta sepencarian RM2 bilion arwah Jamaludin Jarjis dimaklum esok - Utusan Malaysia

Status tuntutan harta sepencarian RM2 bilion arwah Jamaludin Jarjis dimaklum esok

AMINAH Abdullah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi perbincangan pembahagian harta. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Status tuntutan harta sepencarian melebihi RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya, akan dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah, esok.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid menangguhkan perkembangan status itu kerana Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr. Kalsom perlu menghadiri mesyuarat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Nor Husniah Husin yang turut mewakili Dr. Kalsom (plaintif), 67, memaklumkan, pihaknya memohon penangguhan prosiding melalui sepucuk surat kepada mahkamah pada 18 April lalu.

Menurut Nor Husniah, Sulaiman selaku peguam utama kepada plaintif merupakan pihak yang paling sesuai untuk memaklumkan status perkembangan terhadap cadangan penyelesaian tuntutan harta berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding ditangguhkan sehingga 2.30 petang esok dan didengar secara tertutup seperti yang telah diarahkan sebelum ini.

Dalam prosiding tersebut, Peguam-Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar dan Farhan Haziq Mohamed mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 89, selaku defendan kelima.

Sementara itu, Nur Hidayah ketika ditemui pihak media di luar mahkamah memberitahu, pihaknya membantah penangguhan itu dan mahukan status perkembangan penyelesaian diumumkan hari ini.

Jelas beliau, Dr. Kalsom bagaimanapun bertegas mahukan agar peguam utamanya hadir dan memaklumkan sendiri perkembangan tersebut.

Mahkamah sepatutnya menetapkan hari ini bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan jika terhadap hasil perbincangan yang dipersetujui untuk direkodkan.

KALSOM Ismail (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi perbincangan pembahagian harta. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Pada 1 November 2022, Mahkamah Tinggi Syariah diberitahu, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM2 bilion itu mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

Dr. Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 28 Ogos 2022, mahkamah membenarkan permohonan Dr. Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya