Bekas hakim, polis didakwa terima rasuah - Utusan Malaysia

Bekas hakim, polis didakwa terima rasuah

BURHANUDDIN Ismi Adam (kanan) dan Muhamad Hamri Ayob didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh kerana meminta rasuah dan bersubahat lepaskan kes khalwat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Hakim Mahkamah Syariah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mene­rima rasuah berjumlah RM4,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Burhanuddin Ismi Adam, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Tertuduh didakwa secara ra­suah menerima suapan RM4,000 daripada Muhammad Afiq Abd. Majid, 39.

Ia sebagai dorongan membuat keputusan melepaskan kes khalwat yang memihak kepada Muhammad Afiq di bawah Seksyen 54(1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Jalan Chemor Saujana 1, Desa Chemor Saujana di Ipoh pada pukul 11.30 malam, 10 September 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding di mahkamah sama, anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhamad Hamri Ayob, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Burhanuddin Ismi dengan meminta RM4,000 daripada Muhammad Afiq.

Perbuatan bapa kepada empat anak itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Kuala Kangsar, Taman Tasek Mutiara, Ipoh pada pukul 5.30 petang, 10 September 2019.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun ini untuk pengurusan kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya