2 rakan didakwa bunuh ahli perniagaan, mayat ditemukan dalam gaung - Utusan Malaysia

2 rakan didakwa bunuh ahli perniagaan, mayat ditemukan dalam gaung

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Seorang pemandu e-hailing dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan ekoran penemuan mayat dalam sebuah bagasi dekat gaung berketinggian 27 meter di Hulu Langat di sini, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada J. Devan, 41, dan S. Hariharan, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mereka didakwa secara bersama-sama membunuh pemilik rangkaian klinik swasta, Mohamed Usman Chan Bacha, 41, selepas gagal memeras ugutnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran tebing curam di jalan Sungai Tekali, Batu 14, Hulu Langat antara 12.45 tengah hari pada 26 April dan 6.40 petang 28 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, peguam Kenny Tan Cheng Yee mewakili Devan manakala Hariharan tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan rancangan seorang kontraktor untuk berkomplot membunuh ahli perniagaan yang juga pemilik rangkaian klinik swasta di Kajang, baru-baru ini.

Lelaki berusia lewat 30-an itu bukan sahaja memeras ugut wang RM228,000 malah turut bersubahat dengan empat individu lain untuk menamatkan riwayat mangsa pada 26 April lalu.

Komplot membunuh lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai bagi mendapatkan wang membiayai kos perundangan berkaitan kes dadah yang dihadapinya.

Helah itu bagaimanapun terbongkar menerusi penahanan lima suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Ampang, kira-kira pukul 4 petang, 27 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang menemui suspek utama di sebuah restoran di Semenyih, kira-kira pukul 11 pagi hari kejadian sebelum diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.

Rententan itu, kata beliau, polis kemudiannya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan rakan serumah mangsa dan ahli keluarga mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya