KUALA LUMPUR: Tiada sebarang bukti yang jelas menunjukkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan mana-mana individu untuk meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkannya dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh Najib hanya kerana risau bahawa laporan itu akan diputar belitkan oleh lawan politiknya.
Malah, tindakan memadamkan nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low daripada laporan itu juga adalah berasas kerana minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 September 2009 tidak mencatatkan nama lelaki berkenaan walaupun dia hadir pada mesyuarat tersebut.
“Pada pandangan saya, bahan yang dipadamkan atau dipinda daripada laporan awal audit tidak mendedahkan atau menimbulkan sebarang tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap tertuduh kedua (Najib). Pindaan tersebut, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Audit Negara (Tan Sri Ambrin Buang) mempunyai asas.
“Adakah Ketua Audit Negara dipaksa atau dipujuk untuk mengubah laporan awal audit berkenaan? Pada pendapat saya, tidak. Saya juga mendapati bahagian yang dipadamkan atau dipinda diketahui dan dibincangkan secara terbuka oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Berhubung habuan yang dikatakan diinginkan Najib (mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang), saya bersetuju dengan hujah pihak pembelaan bahawa tidak ada sebarang kaitan di antara pindaan tersebut dengan habuan yang dicari,” kata Hakim Mohamed Zaini yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.
Berhubung bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, mahkamah mendapati keterangan yang diberikan oleh tertuduh pertama itu yang juga saksi pendakwaan ke-15 telah memberikan keterangan dengan konsisten dan selari dengan bukti serta keterangan saksi-saksi pendakwaan yang lain.
Pihak pendakwaan sewaktu pemeriksaan semula tidak pernah mencabar keterangan yang diberikan malah tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap Arul Kanda untuk menjadikannya sebagai saksi belot (hostile witness).
“Sekiranya keterangan tertuduh pertama (Arul Kanda) berpihak kepada tertuduh kedua (Najib) sehingga menjejaskan kes pendakwaan, adalah wajib bagi mereka untuk menunjukkan perbezaan tersebut yang mana ia tidak dilakukan oleh pendakwaan.
“Tertuduh pertama tidak cuba untuk mengaburi segala salah laku yang berlaku dalam 1MDB. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan Arul Kanda bertanggungjawab atas segala masalah yang timbul dalam 1MDB.
“Beliau (Arul Kanda) telah ditarik masuk untuk menyelamat syarikat tersebut dan meninggalkan karier yang lebih baik di luar negara. Adalah pengetahuan umum bahawa Arul Kanda telah dikecam secara terbuka ekoran skandal 1MDB, mungkin secara tidak adil kerana segala masalah yang timbul berlaku sebelum waktunya (menyertai 1MDB),”kata hakim itu.
Selain itu, Hakim Mohamed Zaini mendapati bahawa Arul Kanda telah memberikan keterangan yang benar dan menyeluruh berhubung semua perkara yang berkaitan.
“Oleh itu saya mengarahkan bahawa sijil indemniti yang mempunyai meterai mahkamah yang menyatakan bahawa dia (Arul Kanda) telah memberikan keterangan yang benar dan menyeluruh atas semua perkara yang disoalkan kepadanya sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 63(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009.
“Sijil ini akan menjadi penghalang buat dirinya daripada sebarang prosiding undang-undang terhadapnya berkaitan dengan pertuduhan dalam kes ini,”kata Hakim Mohamed Zaini.
Keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda disambut dengan ucapan Alhamdulillah oleh salah seorang penyokong bekas Ahli Parlimen Pekan itu. – UTUSAN