MELAKA: Seorang jururawat lelaki berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas dia dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencuri barang kemas keluarga pesakitnya bernilai RM12,000.
Kedua-dua tertuduh, Ahmad Fitri Abdul Nasir, 26, dan Sofiah Abdul Rafiq, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama telah mencuri barang kemas berjumlah RM12,000 yang disimpan dalam bilik tidur di tingkat bawah rumah di Vista Kirana, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah.
Difahamkan, tertuduh lelaki merupakan jururawat yang digaji keluarga tersebut bagi menjaga suami kepada mangsa curi.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi pada 17 Februari 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, mesti dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM7,000 untuk setiap tertuduh.
Peguam Umar Zulkarnain merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh wanita merupakan suri rumah, manakala tertuduh lelaki hanya bekerja sebagai jururawat dan perlu menyara empat anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 seorang dan menetapkan 18 April depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN