Tonto didakwa terima suapan 10 syarikat lori

Tonto didakwa terima suapan 10 syarikat lori

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan sejak 2016. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM101,625 daripada 10 syarikat pengangkutan sejak 2016.

Tertuduh, Norsham Ahmad, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan antara RM250 hingga RM7,895 menerusi transaksi pindahan secara dalam talian daripada 10 syarikat pengangkutan sebagai dorongan kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Kesalahan tersebut dilakukan di Maybank Malaysia Berhad (Maybank) Masjid Tanah, Maybank Islamic Berhad Alor Gajah, Maybank Bukit Baru, Public Bank Berhad (Public Bank) Ayer Keroh dan Public Bank Malim Jaya antara 6 Januari 2016 hingga 13 Mac 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (b) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM50,000 dengan mengambil kira jumlah suapan yang serius serta memohon syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

Tertuduh yang diwakili peguam Fahmy Sulaiman merayu jaminan rendah dikenakan memandangkan anak guamnya hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap serta menghidap penyakit kencing manis.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat-syarat tambahan pihak pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya