Penjana Kerjaya: Adik beradik antara didakwa perdaya Perkeso

Penjana Kerjaya: Adik beradik antara didakwa perdaya Perkeso

KESEMUA tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM234,800.

Kesemua tertuduh, Mohamad Firdaus Fauzi, 28, dan adiknya, Muhammad Danish, 22, serta Muhammad Ammar Roslan, 31, dan Lajis Majid, 64, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan tiga pertuduhan terhadap Mohamad Firdaus, tertuduh didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan FF Kudrat Enterprise bertarikh 26 Februari dan 17 Mei 2021 dan perusahaan Hijrah Legacy Enterprise bertarikh 11 Mei 2021 bagi menuntut insentif berjumlah RM93,800.

Tertuduh didapati dengan niat hendak memperdayakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan dokumen pengesahan itu mengandungi pernyataan palsu maklumat pekerja baharu, sedangkan senarai tujuh pekerja dinamakan bukan pekerja syarikat berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Danish, Muhammad Ammar dan Lajis masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan mengemukakan dokumen pengesahan mengandungi pernyataan palsu nama pekerja baharu atas nama perusahaan Dniez Enterprise bertarikh 29 Mei 2021, perusahaan Ammarsaniah Enterprise (20 Mei 2021) dan LBM Niaga Enterprise (8 Mei 2021).

Tuntutan dibuat dengan niat memperdaya Perkeso bagi menuntut insentif berjumlah RM36,400; RM48,700 dan RM55,900.

Mohamad Firdaus didakwa melakukan perbuatan itu pada 26 Februari, 17 Mei dan 4 Jun 2021 manakala tiga yang lain pada 3 Jun, 20 Mei dan 8 Mei 2021.

Tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 24 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala hanya Muhammad Ammar diwakili Peguam Hafizah Sani.

Pendakwaan mencadangkan jaminan RM35,000 terhadap Mohamad Firdaus bagi tiga pertuduhan, manakala Muhammad Danish, Muhammad Ammar dan Lajis masing-masing sebanyak RM10,000; RM20,000 dan RM25,000.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM25,000 terhadap Mohamad Firdaus dan RM8,000 bagi Muhammad Danish, Muhammad Ammar (RM15,000) manakala Lajis (RM20,000). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya