PETALING JAYA: Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes seorang pelanggan wanita yang dipercayai menjadi mangsa intipan oleh pekerja sebuah restoran terkenal di Uptown, Kota Damansara, meskipun mangsa telah menarik semula laporan polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan tetap diteruskan termasuk merakam percakapan suspek dan saksi lain berikutan kes berkenaan tular di media sosial.
“Kes ini masih disiasat kerana ia telah menjadi tular. Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dan keputusan dibuat untuk tiada pertuduhan dikenakan (NFA),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes tersebut telah diselesaikan antara pengadu dan suspek sebelum pengadu hadir semula ke balai polis untuk membuat laporan menarik balik laporan terdahulu.
Semalam, seorang pelanggan wanita sebuah restoran terkenal di Uptown, Kota Damansara dekat sini tidak menyangka menjadi mangsa intipan selepas dipercayai dirakam oleh seorang pekerja premis terbabit ketika berada di dalam tandas malam tadi.
Wanita dikenali Lysa, 23, berkata, dia ketika itu sedang makan di restoran terbabit sekitar pukul 9.50 malam sebelum ke tandas untuk membuang air kecil. – UTUSAN










