Bekas guru SRA JAIM didakwa pukul rakan sekerja

Bekas guru SRA JAIM didakwa pukul rakan sekerja

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang wanita yang juga bekas guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Taman Bukit Rambai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah.

Difahamkan tertuduh bertindak demikian akibat berang difitnah keluar berdua-duaan dengan seorang lelaki.

Pergaduhan itu dikatakan berlaku di hadapan murid-murid tahun dua dengan kedua-duanya saling menarik tudung dan memukul antara satu sama lain.

Tertuduh, Nurul Hidayah Khairuddin, 24, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas mangsa kira-kira pukul 2.40 petang, dalam sebuah kelas di SRA JAIM Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, pada 28 September 2022.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan RM8,000 berserta syarat tambahan tidak mendekati atau mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Peguam Mohd. Fahmy Mohd. Sulaiman merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah diberhentikan kerja selepas kejadian, di samping mempunyai enam beradik dengan empat daripadanya masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 13 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya