fbpx

Dijel lima tahun, 10 sebatan kerana methampethamine

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memiliki dadah jenis methampethamine. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berserta 10 sebatan kepada seorang pekerja hotel selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methampethamine.

Tertuduh, Muhammad Nur Azhar Hassim, 26, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dadah jenis methampethamine seberat 36.2 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.45 malam di tepi Jalan PKAK 2, Hotel Metra Square, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Peguam A.H. Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan atas alasan anak guamnya perlu menyara ibu dan ayah yang kini hanya berniaga cendol di tepi jalan.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam mengenai kesalahan berat dilakukan pemuda itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap bersama 10 sebatan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN