Syed Saddiq diperintah bela diri terhadap semua empat pertuduhan

Syed Saddiq diperintah bela diri terhadap semua empat pertuduhan

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan kes pecah amanah dana RM1 juta dan pengubahan wang haram. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid turut memerintahkan penyandang kerusi Parlimen Muar itu membela diri terhadap pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Syed Saddiq, 29, juga diarah membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan wang masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Azhar memutuskan demikian terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membela diri bermula 22 Februari tahun depan.

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir mengetuai pasukan pendakwaan manakala peguam Gobind Singh Deo mengetuai pembelaan.

Berita selanjutnya menyusul ….

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya