Penyokong Ahmad Zahid laung 'bebas Presiden'

Bebas atau bela diri: Penyokong Ahmad Zahid laung ‘bebas Presiden’

SEBAHAGIAN penyokong Ahmad Zahid Hamidi yang berada di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SHAH ALAM: ‘Bebas Presiden’ dan takbir dilaungkan  penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  di hadapan Makkamah Tinggi di sini susulan keputusan  sama ada Presiden UMNO itu dibebaskan atau dipanggil membela diri di atas 40 pertuduhan menerima rasuah berkaitan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Kira-kira 100 penyokong itu melaungkan ‘bebas Presiden’ sepanjang menunggu ketibaan Ahmad Zahid awal pagi sehingga Presiden UMNO itu tiba dan berjumpa mereka di luar mahkamah.

Kesemua penyokong itu dipercayai tiba dari Kuala Nerus, Terengganu menaiki dua bas dan mereka memegang kain rentang bertulis ‘solidariti AZH’ dengan gambar menunjukkan Ahmad Zahid sedang berdoa.

Terdapat beberapa individu daripada Sabah turut hadir memberi sokongan sambil melaungkan “UMNO Sabah sokong Presiden”, bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai penyokong-penyokong terbabit.

Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 8.40 pagi tadi bagi mendengar keputusan sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri di atas 40 pertuduhan menerima rasuah berkaitan VLN.

Sebelum melangkah masuk ke lobi mahkamah, Ahmad Zahid dan beberapa penyokong berdoa dengan harapan keputusan mahkamah hari ini memihak kepadanya, malah ada penyokong yang mengalirkan air mata.

Beberapa pemimpin UMNO turut hadir bagi memberi sokongan antaranya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Beliau turut berdepan tujuh pertuduhan lain mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Tidak cukup dengan kes di Mahkamah Tinggi di sini, beliau juga sedang menjalani perbicaraan bela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya