Azeez dibicara bagi 3 tuduhan rasuah, 6 pengubahan wang haram

Azeez Rahim dibicara bagi 3 tuduhan rasuah, 6 pengubahan wang haram

ABDUL Azeez Abdul Rahim (tengah) berjalan keluar selepas mahkamah mengekalkan bicara atas tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan.  - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun dibebaskan daripada empat pertuduhan pengubahan wang haram, bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah dan baki enam pertuduhan pengubahan wang haram.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan Ahli Parlimen Baling itu untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan yang dihadapi iaitu tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan sebahagian rayuan Abdul Azeez dan membatalkan empat pertuduhan pengubahan wang haram manakala baki enam lagi kekal dibicarakan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dengan itu melepas dan membebaskan Abdul Azeez daripada pertuduhan ketiga, ketujuh, kelapan dan kesembilan berdasarkan isu bidang kuasa mahkamah.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi diteruskan dan sebutan ditetapkan pada 7 September ini. Setakat ini mahkamah telah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Ketika membacakan alasan penghakiman mahkamah, Hakim Abu Bakar berkata, baki sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak cacat mahupun memprejudiskan perayu manakala pendakwaan bukan dilakukan atas niat jahat (mala fide).

Mahkamah turut berpendapat, tiga pertuduhan rasuah juga tidak bertindan di antara satu sama lain yang boleh menyebabkan Abdul Azeez selaku perayu terkeliru sehingga menyukarkannya mengemukakan pembelaan.

Pada hemat beliau, butiran pertuduhan juga dinyatakan secara khusus melibatkan tarikh tertentu dan butiran tersebut boleh dipinda oleh pihak pendakwaan pada bila-bila masa ketika perbicaraan.

Ujar Hakim Abu Bakar, meskipun terdapat empat projek berasingan, namun tarikh yang dinyatakan adalah khusus dan tidak memungkinkan berlaku pertindihan pertuduhan.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa tidak berlaku perlanggaran Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah bahawa pertuduhan berasingan perlu dikemukakan bagi kesalahan berlainan.

Panel itu berpendirian, tidak perlu dinyatakan bagaimana wang itu diterima sama ada melalui tunai atau cek kerana keterangan itu akan dibuktikan oleh pihak pendakwaan manakala peguam boleh menyoal balas saksi-saksi.

“Terlalu awal bagi perayu untuk menyatakan tuduhan tidak berasas dan membuat andaian butiran yang dikemukakan tidak mencukupi, perkara itu akan dibuktikan oleh pihak pendakwaan,” ujar beliau ketika membacakan alasan penghakiman selama hampir satu jam 40 minit.

Panel itu turut berpendirian, walaupun mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk membatalkan pertuduhan, kuasa itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Ujar Hakim Abu Bakar, kuasa itu hanya tertakluk kepada keadaan kes yang luar biasa atau jika berlaku salah laksana keadilan bagi mengelakkan penindasan terhadap proses mahkamah.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin pada 12 Mac 2021 yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan.

Abdul Azeez pada asalnya didakwa pada 16 Januari 2019 atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM13.9 juta.

Pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru dan kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di ibu negara pada 8 Disember 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Beliau turut didakwa atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Kesalahan pengubahan wang haram didakwa dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.