'Saya tipu kerajaan negeri, rakyat Pulau Pinang'-Saksi - Utusan Malaysia

‘Saya tipu kerajaan negeri, rakyat Pulau Pinang’-Saksi

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menipu ketika mendedahkan syarikatnya menerima ancaman daripada orang tengah yang mahukan wang perlindungan selepas mendakwa mereka mempunyai hubungan rapat dengan kepemimpinan Barisan Nasional (BN).

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 62, berkata, pendedahan pada sidang media itu dibuat selepas beliau menjalani tahanan reman ekoran disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar Januari 2018.

Sidang media itu yang diadakan empat tahun lalu antara lain menjelaskan perkembangan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang kemudian disiarkan dalam portal berita Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 2 Julai 2018 bertajuk `It was like someone putting a gun to our heads’.

Pada sidang media itu, Zarul Ahmad yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG)
menyatakan, beliau hanya berani mendedahkan ancaman yang diterimanya selepas berlaku pertukaran kerajaan.

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim Guan Eng, Zarul Ahmad mengaku menipu rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri dan juga pegawai-pegawai syarikatnya selepas disiasat oleh SPRM.

“Saya membuat pendedahan pada sidang media selepas disuruh oleh Lim Guan Eng,” ujar Zarul Ahmad pada perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Suapan itu didakwa sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Sewaktu ditanya Gobind siapa individu yang menjadi orang tengah tersebut, saksi pendakwaan ke-23 itu menamakan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim manakala seorang ahli perniagaan, Gnanaraja didakwanya sebagai penipu.

Gobind: Siapa penipu itu? Gnanaraja?

Zarul: Saya tidak ingat kerana ramai sangat yang ingin ambil kesempatan namun saya dapat nyatakan salah seorang daripadanya ialah Gnanaraja.

Gobind: Individu yang mendakwa mereka ada pengaruh dalam kerajaan dan ketika itu di bawah BN?
Zarul: Betul

Gobind: Siapa pemimpin kanan di Putrajaya yang dimaksudkan?
Zarul: Saya tidak dimaklumkan secara spesifik.

Gobind: Tapi Perdana Menteri ketika itu ialah Najib?
Zarul: Ya.

Gobind: Sebab itu kamu beri wang kerana dikatakan Najib yang perlukannya?
Zarul: Ya.

Pada prosiding itu, Gobind turut memohon agar artikel hasil tulisan Raja Petra Kamarudin yang disiarkan dalam portal Malaysia Today pada 4 Mac 2019 dikemukakan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon tempoh hingga esok bagi membolehkan kedua-dua pihak berhujah berhubung permohonan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya