SPRM siasat Syed Saddiq sebagai tekanan supaya sokong pemerintah - ibu - Utusan Malaysia

SPRM siasat Syed Saddiq sebagai tekanan supaya sokong pemerintah – ibu

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tekanan agar beliau memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah.

Ibu Ahli Parlimen Muar itu, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62, turut menganggap anaknya sebagai mangsa politik meskipun tidak menyatakan siapa Perdana Menteri ketika itu.

“Anak saya pernah menyatakan, jika `mereka’ tidak dapat Saddiq, berwaspada kerana mereka akan pergi pada mama dan abuya, pasti SPRM akan panggil,” ujarnya.

Pesara guru itu malah meluahkan kesedihannya dengan kata-kata beberapa pegawai SPRM ketika sesi soal siasat yang dianggap menakutkan kerana tidak pernah mengalami situasi sedemikian.

“Ada pegawai beritahu, kan lebih bagus jika anak saya ikut kerajaan ketika itu, jadi saya tidak perlu disoal siasat. Itu yang saya tidak boleh lupa, sebagai ibu saya tersentap juga,” ujarnya.

Menurut Shariffah Mahani, akibat sesi soal siasat itu, beliau didiagnos menghidap kanser sekitar Julai 2020 manakala doktor yang merawatnya memberitahu beliau mengalami tekanan.

Ujar saksi pendakwaan ketiga, beliau turut ditanya oleh pegawai SPRM berhubung sumber pendapatannya sebagai guru tuisyen yang sepatutnya dikenakan cukai.

Menurut saksi, beliau khuatir jika melakukan kesilapan, beliau akan terlepas menikmati pencen walaupun setelah berkhidmat sebagai guru selama 38 tahun dan akan bersara pada tahun itu.

“Mereka baik belaka dan hanya menjalankan tugas, namun ia sesuatu yang menakutkan kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, bapa Syed Saddiq, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff, 69, turut menyatakan, beliau mengetahui bahawa majoriti Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tipis ketika itu dan beliau memerlukan sokongan untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

“Saya tahu sokongan tipis kepada Muhyiddin dan saya tahu anak saya telah dianiaya. Tapi saya tahu dia tegas dan integritinya tinggi. Saya kata biarlah kita jujur,” ujarnya.

Bagaimanapun ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Syed Abdul Rahman berkata, beliau tidak melihat atau mendengar anaknya ditekan dipaksa atau diugut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.

Kedua-duanya memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan terhadap Syed Saddiq atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya