Lebih £9.46 juta, AS$61 juta masuk akaun Najib - Utusan Malaysia

Lebih £9.46 juta, AS$61 juta masuk akaun Najib

NAJIB Tun Razak (kiri) hadir bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, semalam.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank mendedahkan tujuh lagi transaksi pindahan dana bernilai ratusan juta dalam mata wang asing ke dalam akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengurus Bahagian Unit SWIFT, AmBank (M) Berhad, Wedani Senen, 48, ketika membaca pernyataan saksinya menyatakan kesemua transaksi itu berlaku di antara 2013 hingga 2014.

Ketika membaca penyataan saksinya, Wedani menjelaskan, wang berjumlah AS$60,999,988 dipindahkan daripada Tanore Finance Corp melalui Falcon Private Bank Limited Singapore dan seterusnya dipindahkan ke Wells Fargo Bank N.A. (New York International Branch) sebelum dimasukkan ke akaun peribadi AmBank Najib.

Akaun bernombor 2112022011880 Ahli Parlimen Pekan itu diberikan kod nama AmPrivate Banking-1MY turut menerima £750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

Selain itu, akaun yang berakhir dengan nombor 880 itu turut menyatakan Wedani turut menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014); £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014); £995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Disember 2014).

Apabila ditanya oleh peguam yang mewakili Najib, Wan Aizuddin Wan Mohamed, bagaimana dia tahu itu merupakan akaun kepada Najib, Wedani berkata, dia hanya mengetahui selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Terdahulu, Muhammad Shafee pada sesi soal balas terhadap bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Md. Desa mempertikaikan keterangan yang diberikan wanita itu berhubung Perkara 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB.

Siti Zauyah sebelum ini ketika membaca penyataan saksinya menyatakan bahawa Perkara 117 M&A itu telah dimasukkan tanpa pengetahuan sesiapa namun pada sesi soal balas hari ini, saksi pendakwaan ke-26 itu ditunjukkan bahawa penambahan tersebut telah dipersetujui oleh bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Wanita itu kelihatan terkejut malah menyatakan ini merupakan kali pertama beliau melihat dokumen tersebut.

Perkara 117 tersebut menyatakan sebarang perlantikan atau penyingkiran mana-mana pengarah 1MDB hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Najib.

Siti Zauyah bagaimanapun menafikan kenyataan yang diberikan di mahkamah adalah keterangan berat sebelah atau tidak menyeluruh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya