Daie Syed bebas dua tuduhan jenayah seksual

Daie Syed bebas dua tuduhan jenayah seksual

YED Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi perkembangan kes seksualnya. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful daripada pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta, dua tahun lalu.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan  Syed Shah Iqmal dilepas dan dibebaskan (D&A) daripada kedua-dua pertuduhan selepas membenarkan permohonan peguamnya Syed Amirul Syed Edros di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Jamaludin bersetuju dengan penghujahan peguam bela dan memerintahkan wang jaminan RM25,000 dikembalikan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) di bawah Seksyen 254(2) CPC selepas mempertimbangkan keadaan-keadaan kes.

Ujarnya, pengadu antara lain mengalami  masalah kemurungan yang serius atas kejadian yang menimpanya sehingga beberapa kali mencederakan diri dan mempunyai keinginan untuk mati (death wishes).

Bagaimanapun, Syed Amirul memohon anak guamnya diberikan perintah D&A kerana pihak pembelaan percaya pengadu tidak berniat meneruskan kes dan pihak pendakwaan hanya akan berpaksikan kepada keterangan lisan pengadu.

Hujah peguam bela, alasan pendakwaan berhubung keadaan kesihatan pengadu yang mengalami masalah kemurungan, goyah untuk diterima oleh mahkamah.

Syed Amirul turut berhujah, siasatan dimulakan hasil laporan polis yang dibuat oleh mangsa menyebabkan anak guamnya direman dan dituduh di mahkamah pada 10 Disember 2020.

”Ini bermakna sudah 538 hari sejak tertuduh didakwa kali pertama dan hari ini pihak pendakwaan memaklumkan mereka tidak berhasrat meneruskan kes,” katanya.

Sehubungan itu, alasan situasi mangsa mengalami kemurungan sehingga mempunyai keinginan untuk membunuh diri, tidak boleh diterima.

Hujah Syed Amirul, anak guamnya langsung tidak pernah berhubung dengan mangsa atau mendekatinya sejak pendakwaan kes.

Oleh yang demikian, hujah peguam bela, Syed Shah Iqmal sepatutnya dibebaskan kerana sungguhpun tiada sebarang representasi dikemukakan, hasrat pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes adalah jelas.

Hujah Syed Amirul, alasan bahawa mangsa akan mengambil masa untuk pulih dan boleh hadir memberi keterangan, juga tidak boleh diterima kerana tiada jaminan gadis itu akan memberi keterangan.

Hujahnya lagi, tiada saksi lebih-lebih lagi pakar  yang bertauliah hadir di mahkamah memberi penjelasan berhubung keadaan kesihatan mangsa.

Katanya, laporan polis telah ditarik balik pada Disember 2021 dan sepanjang tempoh beberapa bulan itu, pihak pembelaan tidak dimaklumkan sehingga kes disebut pada April lalu.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon ‘kata putus’ daripada mahkamah bagi mengelakkan kes tersebut terus tergantung dan Syed  Shah Iqmal terus menerima persepsi sebagai pesalah seks.

Sementara itu, Norhashimah pula masih mengekalkan permohonan untuk DNAA atas alasan pengadu masih mengalami gejala-gejala kemurungan, namun keadaan itu boleh sembuh pada bila-bila masa.

”Memang benar pengadu telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya, namun ia bukan alasan bagi pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes pada masa akan datang,” ujarnya.

Lagipun, ujar Norhashimah, pembelaan tidak mengemukakan representasi dalam kes ini manakala pengadu pun tidak hadir memberi  keterangan secara bersumpah bahawa dia telah menarik balik laporan polis.

Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui selepas prosiding  melahirkan kesyukuran dengan keputusan itu.

“Syukur Alhamdulilah saya dilepas dan dibebaskan, saya tidak boleh nak cakap apa…memang setiap bulan jika mahkamah suruh saya datang (prosiding mahkamah) saya hadir mcm biasa.

“Disebabkan prosiding kes ini, saya tidak dipanggil stesen televisyen. Alhamdulilah saya dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Syed Shah Iqmal, 27, yang lebih dikenali sebagai Da’i Syed sepatutnya dibicarakan pada 18, 20, 21 dan 22, 25 hingga 29 April dan sehari pada 17 Mei lalu.

Pada 19 Mac 2021, kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dibenar dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan serentak.

Ketika didakwa di Mahkamah Sesyen pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang ketika itu berusia 22 tahun.

Dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di antara pukul 3 pagi dan 4 pagi, 17 Oktober 2020 di rumah sewanya di Empire City, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana dekat sini.
Pendakwah selebriti itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya