KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan gagal mendapatkan perintah melarang isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, anaknya dan tujuh pihak lain daripada menguruskan wang pelaburan dianggarkan berjumlah RM548 juta di beberapa buah bank di Singapura.
Hakim, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memenuhi peruntukkan Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Elemen dalam Seksyen 53 tidak dipenuhi. Sehubungan itu, permohonan adalah ditolak,”ujar hakim itu.
Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat manakala Na’imah, anaknya dan tujuh pihak lain diwakili peguam-peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.
Selain Na’imah, turut dinamakan dalam permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan pada 19 Jun 2025 ialah anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, dua individu serta lima syarikat dinamakan sebagai responden.
Menurut permohonan tersebut, pihak pendakwaan memohon agar kesemua responden atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta dan AS$99 juta di Singapura.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA. – UTUSAN










