Cuma mahu tengok anak, penganggur culik budak mengaku tak bersalah - Utusan Malaysia

Cuma mahu tengok anak, penganggur culik budak mengaku tak bersalah

MUHAMMAD Rahim Ahmad (tengah) yang menculik seorang kanak-kanak di Taman Scientex, Pasir Gudang mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur yang ditahan orang awam kerana menculik seorang kanak-kanak lelaki pada 11 Mei lalu di Taman Scientex, Pasir Gudang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Rahim Ahmad, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zulhilmi Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang pada pukul 11.30 pagi, 11 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 1 Jun untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketika mahkamah bersidang, tertuduh memberitahu sudah lama tidak bertemu dengan anaknya sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Saya cuma mahu tengok anak sahaja, sejak raya saya tak dapat tengok, takut dia kena makan,” katanya ketika berada di kandang tertuduh.

Pada Rabu minggu lalu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan tertuduh menculik seorang kanak-kanak lelaki yang memakai pakaian sekolah agama namun berjaya ditahan orang awam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan memberitahu, tertuduh yang merupakan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan selepas bertindak menculik kanak-kanak tersebut.

Mangsa yang sedang berjalan kaki diculik suspek yang menaiki motosikal dengan mempelawa kanak-kanak itu memboncengnya sambil memujuk mahu menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikan diri.

Siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad OKU pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu turut positif dadah jenis methamphetamine serta dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya