Saksi tidak jumpa Najib untuk sahkan tujuan cek diberi kepada Shafee - Utusan Malaysia

Saksi tidak jumpa Najib untuk sahkan tujuan cek diberi kepada Shafee

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat pengesahan tujuan pemberian dua keping cek bernilai RM9.5 juta kepada Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah pada 2013 dan 2014.

Penguasa Mohamad Farid Jabar, 37, berkata, beliau juga tidak pernah melakukan sebarang siasatan terhadap fail-fail guaman di Tetuan Shafee & Co. serta tidak mengambil keterangan daripada mana-mana anak guam Muhammad Shafee untuk membantu siasatan.

Selain itu, saksi pendakwaan terakhir berkata, beliau tidak bertanya atau mengeluarkan notis kepada firma guaman milik Muhammad Shafee agar mengemukakan invois berkaitan pembayaran RM9.5 juta kepada peguam tersebut.

Beliau menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan balas dikendalikan oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta itu dikeluarkan oleh Najib sendiri atas nama tertuduh pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014 semasa perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd. Nasharudin Amir, 49, sebelum ini turut memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Shafee menggunakan cek berjumlah RM9.5 juta itu untuk membeli sebuah banglo di Bukit Tunku, di sini.

Mohamad Farid selanjutnya berkata, beliau tidak diberitahu bahawa cek bernilai RM9.5 juta yang dikeluarkan oleh Najib kepada Muhammad Shafee adalah sebagai bayaran selaku pendakwa raya mengendalikan rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 11 Mac 2015, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat bahawa Muhammad Shafee menerima bayaran daripada kerajaan berjumlah RM1,000 untuk mengendalikan rayuan kes Anwar.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Farid turut memberitahu beliau tidak terlibat dalam mana-mana siasatan berkaitan kes yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Menurut saksi pendakwaan kelapan, beliau membuat aduan terhadap Muhammad Shafee selepas menerima arahan daripada seorang lagi pegawai SPRM pada 4 September 2018 dan juga berdasarkan dua keping cek yang diterima daripada Najib.

Ujarnya, kedua-dua alasan itu menjadi asas kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap Muhammad Shafee manakala tiga percakapan dirakam daripada peguam tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 12 Mei ini.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhammad Shafee, 70, yang didakwa terhadap dua tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau juga berhadapan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya