Bicara kes saman Siti Nordiana terhadap lima individu dipindah ke Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Bicara kes saman Siti Nordiana terhadap lima individu dipindah ke Mahkamah Tinggi

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima individu atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram, dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.

Demikian keputusan Mahkamah Tinggi hari ini selepas membenarkan permohonan melalui saman pemula yang difailkan oleh dua daripada lima individu yang disaman oleh penyanyi berkenaan.

Mereka ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, (defendan keempat) serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, (defendan kelima).

Perbicaraan di Mahkamah Sesyen setakat ini telah berlangsung selama dua hari dengan mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang lebih luas untuk memberi remedi (ganti rugi) kepada Siti Nordiana sekiranya keputusan kes memihak kepada penyanyi itu.

Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi pihak media selepas pendengaran permohonan memaklumkan, anak guamnya bersetuju supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah memerintahkan tiada kos dikenakan yang mana perpindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dibenarkan bagi memberikan ruang bicara yang lebih adil kepada semua pihak,” ujar peguam bela.

Sehubungan itu, perbicaraan yang telah ditetapkan di Mahkamah Sesyen bermula esok, ditangguhkan.

Pada 16 Disember lalu, dua individu tersebut memfailkan saman pemula dengan menyertakan alasan jumlah keseluruhan tuntutan plaintif (Siti Nordiana) terhadap defendan-defendan adalah sebanyak RM2.5 juta dan nilai itu melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap kedua-duanya serta tiga yang lain atas dakwaan memfitnah beliau di platform Instagram.

Tiga defendan lain ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Pada perbicaraan lalu, selain esok, Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan disambung pada tarikh-tarikh lain iaitu pada 7, 11, 17, 19, 20 dan 28 Januari serta 3 dan 4 Februari.

Ketika perbicaraan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu, Siti Nordiana antara lain mendakwa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurut Siti Nordiana pernyataan fitnah lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.

Penyanyi itu bagaimanapun mengakui bahawa sidang media berhubung siaran langsung Instagram (Live IG) yang dibuat lima individu tersebut telah menyebabkan kes itu menjadi semakin viral.

Baru-baru ini, Siti Nordiana membuat kejutan apabila merampas semula trofi kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 yang sebelum ini dimenangi rakan seangkatan, Wany Hasrita. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.