APABILA membincangkan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam, tumpuan lazimnya diberikan kepada kelemahan sistem, birokrasi atau salah guna kuasa.
Namun, terdapat satu ancaman yang kurang diberi perhatian tetapi mampu merosakkan organisasi dari dalam, iaitu kehadiran individu dengan ciri personaliti Dark Triad.
Konsep yang diperkenalkan Delroy Paulhus dan Kevin Williams pada 2002 ini merangkumi tiga ciri utama iaitu manipulatif, narsisme dan psikopati.
Machiavellianism berkait dengan kecenderungan memanipulasi orang lain demi kepentingan sendiri. Narsisme pula melibatkan ego yang tinggi, keperluan berlebihan terhadap pujian serta sukar menerima kritikan. Sementara psikopati dicirikan oleh sikap mengeksploitasi, kurang empati dan tidak berasa bersalah terhadap tindakan yang merugikan orang lain.
Masalah ini tidak semestinya gangguan mental klinikal. Individu berkenaan boleh berfungsi seperti biasa, berpendidikan tinggi malah kelihatan berkarisma sehingga sukar dikenal pasti pada peringkat awal.
Dalam perkhidmatan awam yang berteraskan integriti dan tanggungjawab kepada rakyat, sifat sedemikian boleh membawa kesan besar. Taktik adu domba, politik pejabat dan manipulasi hubungan kerja berpotensi mewujudkan persaingan tidak sihat. Pada masa sama, pegawai yang takut bersuara akibat tindak balas agresif atau budaya buli akan memilih untuk berdiam diri.
Kesannya bukan sekadar kepada hubungan sesama kakitangan. Moral warga kerja boleh merosot apabila usaha mereka dieksploitasi atau individu yang bersikap manipulatif pula mendapat ganjaran.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan produktiviti, meningkatkan tekanan serta mendorong pegawai berpotensi meninggalkan organisasi. Lebih serius, keputusan yang sepatutnya berasaskan kepentingan awam boleh dipengaruhi kepentingan peribadi.
Justeru, penilaian kenaikan pangkat tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI).
Penilaian kepimpinan, integriti, maklum balas rakan sekerja serta pandangan pegawai bawahan juga perlu diberi perhatian. Saluran aduan yang selamat mesti tersedia supaya amalan buli, manipulasi dan penyalahgunaan kuasa dapat dilaporkan tanpa rasa takut.
Bagi warga kerja yang berdepan situasi sedemikian, profesionalisme perlu dipertahankan. Setiap arahan dan urusan penting wajar direkodkan secara bertulis bagi mengelakkan manipulasi atau pertikaian kemudian hari.
Akhirnya, integriti perkhidmatan awam bukan hanya bergantung kepada peraturan yang baik tetapi juga budaya kerja yang sihat.
Mengenali tingkah laku manipulatif, memperkukuh kepimpinan beretika dan menyediakan perlindungan kepada mereka yang berani bersuara adalah langkah penting untuk memastikan organisasi kekal adil, selamat dan berorientasikan kepentingan rakyat. -UTUSAN
MOHD. RAFIZI RAHMAD dan PROFESOR MADYA DR. AHMAD IHSAN MOHD. YASSIN
Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI),
Universiti Teknologi Mara (UiTM)











