Bisnes air ketum: Dua anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah - Utusan Malaysia

Bisnes air ketum: Dua anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah

FARID Rosni (kanan) bersama Clinton Kudang Gangga mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan rasuah di Johor Bahru. -UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah termasuk menerima suapan sebanyak RM4,500, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, pada pukul 6.30 petang, 10 Mac tahun lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka berdua didakwa bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskannya dan rakannya, pada pukul 9.45 malam di lokasi, tarikh dan kesalahan sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya pada pukul 10 malam.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd. Ra’fik.

Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebuatan semula kes dan serahan dokumen. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya