Mahkamah Tinggi Shah Alam benarkan Ahmad Zahid ke luar negara - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi Shah Alam benarkan Ahmad Zahid ke luar negara

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini bagi memohon kebenaran untuk mendapatkan semula pasport supaya dapat menerima rawatan slip disc dialaminya di Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini untuk mendapatkan semula pasportnya untuk ke luar negara. 

Peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika ditemui memberitahu, Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa membenarkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendapatkan semula pasportnya yang ditahan susulan pendakwaan terhadapnya berhubung kes rasuah berkaitan projek Visa Luar Negara (VLN).

Beliau yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memaklumkan permohonan sama dibuat anak guamnya itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada minggu lepas.

“Kebenaran ini tidak menangguhkan tarikh perbicaraan sedia ada, sebaliknya beliau akan mendapatkan rawatan selepas perbicaraannya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zaidi menambah kebenaran untuk ke luar negara tertakluk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada petang ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid memohon pasportnya dikembalikan semula bagi membolehkan beliau ke luar negara untuk mendapatkan rawatan masalah slip disc yang dialaminya di Jerman.

Perbicaraan beliau sebelum ini tertangguh kerana menerima rawatan di Hospital Avisena di sini akibat sakit belakang, namun bersambung semula pada 28 September lalu.

Mohd. Yazid sebelum ini turut menetapkan perbicaraan Ahmad Zahid diteruskan selama lima hari pada 22 Oktober, 18 hingga 19 November dan 20 hingga 24 Disember.

Ahmad Zahid yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2013 hingga 2018 itu berhadapan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana menerima suapan berjumlah S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya