SPRM dakwa pegawai kanan syarikat pecat kakitangan salur maklumat - Utusan Malaysia

SPRM dakwa pegawai kanan syarikat pecat kakitangan salur maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pendakwaan ke atas seorang pegawai kanan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana telah menyebabkan seorang kakitangan syarikat dipecat setelah memberikan maklumat kepada suruhanjaya itu berkaitan salah laku yang dibuat oleh tertuduh.

Suruhanjaya itu berkata, pertuduhan di bawah Seksyen 10 (3) (b), Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) itu merupakan pertama dalam sejarah sejak akta berkenaan berkuat kuasa pada 2010.

Jelasnya, SPRM amat prihatin dengan masalah yang terpaksa dihadapi oleh pemberi maklumat sekiranya mereka dikenakan tindakan atas pendedahan jenayah rasuah yang dilakukan oleh pihak tertentu. 

“Peruntukan undang-undang tersebut menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain di samping memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan yang memudaratkan.

“Oleh demikian, SPRM tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan ke atas pihak yang cuba mengenakan tindakan yang memudaratkan ke atas pemberi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tindakan pendakwaan akan dijalankan di mahkamah berkenaan pada pukul 8.30 pagi hari ini (18 September) setelah mendapat izin dari Pejabat Peguam Negara.

Dalam pada itu, SPRM turut berharap agar pertuduhan berkaitan kes tersebut dapat memberikan isyarat kepada masyarakat agar tidak gentar dalam memberikan kerjasama kepada agensi penguat kuasa untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, kes seumpama ini diharap dapat memberi pengajaran kepada pihak yang cuba mengenakan tindakan ke atas pemberi maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya