Mekanik dipenjara enam tahun miliki bahan pornografi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Mekanik dipenjara enam tahun miliki bahan pornografi kanak-kanak

LIM Ming Soon dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan selepas dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM10,000 kerana memiliki bahan lucah kanak-kanak. - MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang mekanik sambilan dipenjara enam tahun dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki bahan lucah kanak-kanak.

Selain itu, tertuduh, Lim Ming Soon, 40, yang belum berkahwin turut diperintah menjalani sesi kaunseling serta pemantauan selama tiga tahun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Ming Soon didakwa memiliki gambar dan video lucah kanak-kanak yang disimpan dalam pemacu pen, cakera keras, telefon bimbit serta komputer riba.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah yang beralamat di Jalan Haji Ahmad di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 11 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Pertuduhan kedua pula, Ming Soon didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar dan video lucah yang disimpan dalam peranti sama pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah dibuat, tertuduh yang diwakili peguam Rahiza Zulkifli merayu dikenakan hukuman minimum kerana perlu menjaga ibunya yang menghidap kanser paru-paru.

Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Sejurus mendengar kedua-dua pihak, hakim Siti Aminah Ghazali mensabitkan kesalahan tersebut ke atas tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara 36 bulan dan denda RM10,000 bagi tuduhan pertama serta 36 bulan penjara untuk tuduhan kedua.

Siti Aminah turut memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dilaksanakan secara berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya