Kes SRC: Mahkamah Tinggi tentukan nasib Najib hari ini - Utusan Malaysia

Kes SRC: Mahkamah Tinggi tentukan nasib Najib hari ini

Najib Mahkamah
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan dalam kes SRC International bakal diketahui hari ini.

Andai mahkamah membuat keputusan memihak beliau, ia merupakan langkah pertama Najib untuk membersihkan namanya yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai isu.

Jika sebaliknya, Ahli Parlimen Pekan itu masih berpeluang membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Ini kali pertama dalam sejarah negara, bekas Perdana Menteri didakwa di mahkamah atas pertuduhan jenayah.

Najib didakwa atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM42 juta milik SRC International antara Disember 2014 dan Mac 2015 di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan di sini.

Beliau juga menghadapi tuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Beliau juga didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Sabit kesalahan bekas Perdana Menteri itu boleh dihukum penjara antara dua tahun hingga 20 tahun dan juga didenda jutaan ringgit.

Perbicaraan kes bermula 3 April 2019 dan berlangsung selama 94 hari. Seramai 96 orang dipanggil memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan selebihnya saksi pembelaan.

Adakah Najib berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap bukti-bukti pendakwaan ke atasnya? Mahkamah akan memberikan jawapan itu.

Beliau sebelum ini dilaporkan menafikan terlibat dalam salah guna kuasa semasa pentadbirannya.

Perjalanan kes sebenarnya masih panjang sama ada Najib didapati bersalah ataupun tidak, Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pastinya akan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sekiranya ia tidak memihak kepada Najib, sehingga rayuan selesai.

Dalam pada itu, peguam senior, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dilaporkan berkata, tidak kira apa jua keputusan Mahkamah Tinggi, akan tetap ada pihak yang tidak berpuas hati.

Beliau berkata, pihak mahkamah juga akan terus dipersalahkan dan menjadi persepsi negatif masyarakat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya