MCA pilih jalan sukar jika bergerak solo

MCA pilih jalan sukar jika bergerak solo

MCA dikatakan sukar mencapai kemenangan walau satu kerusi dalam PRU16 jika mengambil keputusan bergerak solo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: MCA sukar untuk mencapai kemenangan walau satu kerusi sekali pun dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika mengambil keputusan bergerak solo.

Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, keputusan bergerak solo bukan satu pilihan yang tepat, malah parti-parti seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) antaranya telah menunjukkan bahawa politik solo tanpa sokongan kaum majoriti adalah mustahil untuk mencapai kejayaan pilihan raya.

Katanya, MCA juga tidak mempunyai kekuatan struktur akar umbi seperti Pas atau jentera Melayu luar bandar seperti UMNO bagi membantu di dalam pilihan raya.

MUHAMMAD IZMER YUSOF

“Sebagai parti bandar, MCA memang bergantung kepada undi Cina dan undi Cina kini pula telah berpindah kepada Pakatan Harapan (PH) atau DAP. Ketiadaan asas ideologi jelas dan kekurangan personaliti politik berkarisma menjadikan MCA sukar bergerak sebagai parti yang boleh bersuara secara sendiri dalam gelanggang politik nasional,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, MCA akan menilai semula kedudukan ber­sama Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terus cenderung untuk menjalinkan kerjasama di luar gabungan itu terutama DAP.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dilaporkan berkata, pihaknya bersedia bergerak solo jika gabungan politik itu terus menyokong dasar kerajaan membebankan rakyat yang dilihat melemahkan kedudukan dan bercanggah dengan pendirian parti.

Muhammad Izmer berkata, MCA mempunyai tiga pilihan yang realistik untuk masa depan parti itu antaranya kekal di dalam BN, menyertai Perikatan Nasional (PN) atau melakukan transformasi penuh menjadi parti berbilang kaum dan berasaskan isu.

Katanya, jika kekal di dalam BN, ia memberi MCA sokongan struktur tetapi tidak menjamin kebangkitan sokongan Cina.

“Kedua ialah menyertai PN sebagai jalan pintas untuk kekal relevan walaupun peluang membawa undi Cina adalah hampir sifar. Langkah ini lebih bersifat survival tetapi risiko kehilangan imej dalam kalangan pengundi Cina adalah sangat besar.

“Pilihan ketiga dan paling mencabar ialah melakukan transformasi penuh dengan MCA perlu keluar daripada imej lama sebagai parti komunal Cina dan bergerak sebagai parti moden yang memperjuangkan isu ekonomi bandar, mobiliti sosial, pendidikan tinggi, kesaksamaan peluang dan reformasi pentadbiran.

“Transformasi ini memerlukan masa yang panjang dan perubahan budaya politik dalam parti. Namun ini mungkin menjadi satu-satunya strategi yang membolehkan parti kembali menarik sokongan pengundi bandar, khususnya generasi muda yang menolak politik perkauman,” katanya.

Katanya, MCA kini berada pada tahap paling genting dalam sejarah penubuhan parti itu dengan keputusan pilihan raya menunjukkan penurunan ketara selama hampir 20 tahun tanpa tanda pemulihan ketara.

Ujar beliau, dilema utama MCA ialah realiti bahawa parti komunal Cina tidak lagi sesuai dalam rangka politik Malaysia yang semakin dipengaruhi oleh isu tata kelola, reformasi dan politik rentas kaum.

“MCA juga tidak mampu menarik sokongan Cina untuk BN atau PN, menjadikan parti itu tidak lagi mempunyai nilai tambah strategik dalam koalisi besar. Pilihan terbaik untuk MCA ialah melakukan perubahan identiti secara total.

“Parti itu perlu membina naratif baru berdasarkan isu ekonomi, pendidikan, peluang merata dan tadbir urus yang bersih. Tanpa transformasi besar, MCA akan terus menjadi parti kecil yang hilang arah dan akhirnya hanyut seperti banyak parti kecil lain dalam sejarah Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN