KANGAR: Seramai 11 penunggang motosikal Aprilia SRGT 200 menyertai Border Ride 2025 anjuran Northern Aprilia Owners Club (NAOC) Krabi, Thailand.
Konvoi sejauh 450 kilometer disertai penunggang dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu bermula melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan berakhir di destinasi Krabi, Thailand.
Penyelaras program, Shafiq Hizwari Md Hashim, 43, berkata, konvoi itu bukan sahaja bertujuan menguji ketahanan fizikal dan mental para penunggang, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli serta memperkenalkan budaya pelancongan bermotosikal secara berhemah.
“Konvoi ini bukan sekadar perjalanan jauh, tetapi satu pengalaman yang membina semangat kekitaan, disiplin dan ukhuwah sesama ahli. Kita ingin mengeratkan tali persahabatan memandangkan konvoi ini berlangsung secara eksklusif iaitu setahun sekali sahaja dengan penglibatan cukup terhad,” katanya.
Katanya, kawasan kampung dan pedalaman dipilih sebagai laluan untuk ke Krabi berbanding jalan utama biasa bagi memberi peluang kepada ahli menikmati pemandangan yang menarik.
“Kita sengaja memilih laluan yang menyajikan pemandangan yang indah dengan melintasi beberapa kawasan kampung dan pedalaman. Walaupun agak jauh, tetapi kita berpuas hati dapat menerokai lokasi ‘hidden gems’ yang jarang-jarang kita lihat dan memberi pengalaman baru dan bernilai,” katanya.
Pada hari terakhir bermotosikal, NAOC turut berpeluang meninjau keadaan terkini bandar Hatyai yang terkesan akibat bencana banjir.-UTUSAN










