72 harimau maut akibat virus

72 harimau maut akibat virus

Seekor harimau duduk di Santruari Hidupan Liar Bueng Chawak, Suphanburi, tahun lalu. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand kini sedang bertungkus-lumus membendung penularan wabak penyakit yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 72 ekor harimau dalam kurungan di taman hidupan liar di wilayah utara Chiang Mai.

Majoriti kematian direkodkan di dua taman haiwan dikendalikan pihak swasta iaitu Tiger Kingdom Mae Taeng dan Tiger Kingdom Mae Rim, yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di mana pelawat boleh berinteraksi rapat dengan haiwan tersebut.

Menurut kenyataan Pejabat Kawasan Perlindungan serantau, sebanyak 51 ekor harimau mati di Mae Taeng manakala 21 lagi di Mae Rim antara 8 hingga 19 Februari lalu.

Laporan akhbar The Bangkok Post mendedahkan bahawa ujian awal oleh pegawai ternakan mendapati harimau-harimau yang mati itu dijangkiti feline parvovirus, yang juga dikenali sebagai feline panleukopenia.

Pasukan veterinar dari pejabat ternakan wilayah Chiang Mai mengesahkan hasil bedah siasat menunjukkan kehadiran virus tersebut. Selain itu, ujian makmal terhadap sampel bangkai turut mengesan virus canine distemper (CDV) dan bakteria Mycoplasma. Bagaimanapun, tiada kesan influenza A (selesema burung) ditemukan.

Feline parvovirus merupakan penyakit yang sangat berjangkit dan membawa maut dengan menyerang sistem pencernaan serta imuniti haiwan, menyebabkan simptom seperti muntah, cirit-birit berdarah, demam panas termasuk kelesuan melampau.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan Thailand, Somchuan Ratanamungklanon menjelaskan bahawa proses merawat harimau adalah jauh lebih sukar berbanding haiwan peliharaan biasa seperti kucing atau anjing.

“Merawat harimau yang sakit sangat berbeza. Kucing dan anjing tinggal rapat dengan kita, jadi apabila menunjukkan simptom (penyakit), kita boleh bertindak pantas. Harimau sebaliknya tidak tinggal dekat dengan manusia.

“Apabila kita menyedari ada sesuatu yang tidak kena, biasanya penyakit tersebut sudah pun berada pada tahap yang sangat serius,” katanya kepada media tempatan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN