Askar Thai putus kaki terpijak periuk api - Utusan Malaysia

Askar Thai putus kaki terpijak periuk api

SEORANG askar Thailand putus kaki kanan terpijak periuk api di sempadan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Seorang askar Thailand kehilangan kaki kanannya selepas terpijak periuk api di sempadan yang menjadi pertikaian dengan Kemboja, di mana gencatan senjata rapuh sedang dikuatkuasakan.

Menurut kenyataan Tentera Wilayah Kedua, insiden berlaku pada pukul 6.44 pagi Jumaat di kawasan Chong Ray, daerah KabChoeng, wilayah Surin, tempat askar tersebut menjalankan tugas.

Kenyataan itu berkata, askar itu terpijak periuk api ketika menjalankan tugas di kawasan di bawah kawalan tentera Thailand, mengakibatkan kecederaan parah dan kehilangan kaki kanan.

Askar berkenaan dipindahkan dengan segera ke hospital terdekat untuk menerima rawatan dan keadaannya sedang dipantau rapi.

Thailand dan Kemboja sebelum ini saling menuduh melanggar gencatan senjata berulang kali dengan masing-masing melepaskan tembakan meriam dan mortar rentas sempadan.

Bangkok mendakwa tentera Kemboja menanam periuk api baharu di tanah yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, tentera Thailand berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati periuk api itu ditanam jauh di dalam tanah dan dilitupi daun, menjadikannya sukar dikesan. 

Bahan letupan itu disahkan bukan periuk api yang baru ditanam.

Unit berkaitan sedang mempercepatkan langkah-langkah keselamatan untuk melindungi anggota yang menjalankan tugas mereka di kawasan berkenaan.

Sejak musim panas 2025, puluhan nyawa terkorban dalam beberapa siri konflik sepanjang sempadan berdekatan hutan, yang menjadi pertikaian selama lebih seabad sejak penandaan sempadan pada era penjajahan Perancis. 

Lebih sejuta orang awam terpaksa dipindahkan di sempadan sepanjang 800 kilometer itu pada kemuncak pertempuran antara Julai dan Disember tahun lalu, sebelum gencatan senjata sementara berkuat kuasa. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN