SHAH ALAM: Projek Landskap Balai Polis Tanjung Malim, Perak menjadi inisiatif program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Pantai Bharu Autohaus bersama komuniti setempat menerusi penganjurannya, kelmarin.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Balai Polis Tanjung Malim, Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) bagi memperindahkan kawasan persekitaran serta mewujudkan suasana lebih kondusif untuk masyarakat.
Pengurus Besar Pantai Bharu Autohaus, Azhar Abdul Hamid berkata, projek tersebut juga memupuk semangat kesukarelawanan dan kerjasama komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kecantikan dan kebersihan persekitaran bukan sekadar soal rupa, tetapi cerminan sikap tanggungjawab kita terhadap komuniti. Melalui program seperti ini, kita belajar bekerjasama, saling menghargai dan menjaga ruang awam bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, selain aktiviti landskap dan penanaman semula pokok, program berkenaan turut melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan sekitar sebagai tanda sokongan kepada usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam.
“Program berkenaan turut menjadi platform bagi mengukuhkan hubungan antara pihak swasta, institusi pendidikan dan agensi keselamatan tempatan, sekaligus memperlihatkan semangat gotong-royong masyarakat yang masih utuh.
“Pantai Bharu komited untuk meneruskan usaha seumpamanya di masa depan sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR yang berterusan dalam membangunkan komuniti serta mewujudkan persekitaran yang lestari dan harmoni,” ujarnya.
Majlis tersebut disertai Ketua Balai Polis Tanjung Malim, Inspektor Yadalhi; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Pantai Bharu, Rabitah Shamshudin; Pengarah Eksekutif, Siti Laila Shamshudin. Turut hadir ialah pensyarah dan pelajar PSAS serta pegawai daripada MDTM. – UTUSAN