GOMBAK: Kereta elektrik (EV), Proton e.MAS7 antara barisan kenderaan Proton yang memeriahkan Kembara Merdeka Pantai Bharu 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68, baru-baru ini.
Kembara tersebut melibatkan pelepasan kenderaan-kenderaan dari Kumpulan Syarikat Pantai Bharu yang berkonvoi sambil mengibarkan Jalur Gemilang dari Rawang di sini dan menuju ke dua institusi pendidikan tinggi (IPT) iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Balai Polis Tanjung Malim, Perak.
Pengurus Besar Proton Pantai Bharu Autohaus Rawang, Azhar Abd Hamid berkata, kembara tersebut adalah simbolik patriotisme sempena sambutan hari kemerdekaan yang dalam masa sama mempamerkan kereta-kereta tempatan iaitu Proton sebagai sebahagian daripada manifestasi kemajuan negara.
“Kami percaya bahawa semangat merdeka bukan sekadar sejarah untuk dikenang, tetapi jiwa yang harus terus dihidupkan dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kerjasama dengan PSAS dan UPSI membuktikan bahawa sinergi antara sektor korporat, pendidikan dan masyarakat mampu melahirkan komuniti yang lebih berdaya maju serta berjiwa patriotik,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, barisan model kereta-kereta Proton bersama Proton e.MAS7 EV turut menjadi tarikan utama, memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman pandu uji.
Azhar berkata, menariknya, program ini tidak berakhir dengan konvoi semata-mata, sebaliknya program-program tanggungjawab sosial (CSR) turut diadakan bagi meriahkan lagi aktiviti khususnya di Balai Polis Tanjung Malim.
“Sebagai kesinambungan, Pantai Bharu bersama PSAS dan UPSI melaksanakan program CSR memperindah landskap di Balai Polis Tanjung Malim, sekali gus memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.
“Kami yakin bahawa Kembara Merdeka Pantai Bharu 2025 mampu menjadi acara tahunan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta terus menyemarakkan semangat cintakan tanah air,” ujarnya. – UTUSAN