SHAH ALAM: Duka seorang cucu belum terubat apabila merindui neneknya yang tidak lagi dapat dihubungi selama 22 tahun selepas dia dihalau dari rumah kerana memilih memeluk Islam.
Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah, Delesha Aisyah Abdullah berkata, dia menanggung kesedihan yang cukup mendalam kepada nenek dan keluarganya terutama pada setiap kali menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, dia terpisah dari keluarga sejak 2007 selepas memilih untuk memeluk agama Islam sebelum meninggalkan kampung halaman di Sibu, Sarawak.
“Nenek saya tidak lagi mengaku cucu selepas saya memilih untuk memeluk Islam. Ia berlaku kira-kira setahun kemudian apabila saya memberitahu keluarga terutama nenek, Ching Chiyein.
“Bagaimanapun, tidak menyangka menerima reaksi mengejutkan daripada keluarga dan meminta saya memilih sama ada keluarga atau pilihan sendiri. Saya memilih Islam, namun tidak lagi diakui sebagai ahli keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, Delesha Aisyah, 50, kerinduannya kepada keluarga semakin membuak-buak apabila diserang strok pada Januari tahun lalu sehingga terpaksa ditempatkan di pusat jagaan berkenaan kerana tiada ahli keluarga yang tinggal di sini.
“Sejak memeluk Islam, saya tinggal di Shah Alam dan belajar lebih mendalam tentang Islam, kemudian saya bekerja dekat sebuah kedai baju di Perak. Namun pada 1 Januari lalu saya diserang strok ketika berada dekat rumah sewa di Shah Alam.
“Kemudian saya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan. Dua minggu kemudian, ketika dibenarkan pulang, saya memberitahu tiada ahli keluarga tinggal di Lembah Klang, lantas saya ditempatkan di Pusat Jagaan Mahmudah,” kongsinya.
Sehingga kini, dia tinggal di pusat jagaan tersebut kerana tidak lagi dapat bekerja seperti dahulu.
Katanya lagi, rasa rindu terhadap neneknya tidak pernah pudar walaupun sudah lebih satu dekad tidak bertemunya.
“Saya tidak dapat menghubunginya kerana telefon saya yang ada nombornya hilang. Sejak diserang strok, saya sudah lupa banyak perkara. Jadi, memang saya tidak ingat nombor nenek,” luahnya. – UTUSAN