Ladang Bukit Tagar: Kajian EIA, SIA, perbincangan disegerakan - MB

Ladang Bukit Tagar: Kajian EIA, SIA, perbincangan disegerakan – MB

EIA SIA babi
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Nadi, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menyegerakan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) dan sosial (SIA) sebelum melaksanakan pembangunan ladang ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kajian juga akan mengenal pasti segala risiko serta menentukan jarak kedudukan kawasan perumahan yang paling hampir.

Katanya, langkah tersebut untuk menyegerakan pemindahan ladang-ladang sedia ada di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang melibatkan 69 pengusaha daripada 112 ladang termasuk 112 di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan tiga di Sungai Belankan, Sepang.

“Kita akan laksanakan secepat mungkin sebab ia melibatkan yang aktif sekarang ada 69 pengusaha. Sebolehnya kita akan laksanakan (pemindahan) pada tahun ini selepas tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) minta supaya disegerakan.

”Kita juga akan memastikan perbincangan bersama pihak-pihak terlibat termasuk di kawasan persekitaran dilakukan secepat mungkin. Jadi, kerajaan negeri akan tumpukan kepada keselamatan yang memerlukan perbincangan dan perincian dengan pihak tempatan.

“Pendengaran awam kita akan lakukan jika ada keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, perusahaan ternakan babi di Kampung Ladang Tumbuk di Tanjung Sepat akan ditutup dan perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, esok.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, pembaharuan lesen juga tidak akan diberikan sehingga pemindahan penternakan dilakukan di ladang babi moden berpusat di Bukit Tagar yang akan dipercepatkan.

Malah, Sultan Selangor menitahkan supaya kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan terhadap pembukaan dan operasi ladang ternakan babi di Bukit Tagar pada masa hadapan.

Jelas Amirudin, matlamat pembukaan ladang babi secara berpusat di Bukit Tagar adalah menutup konsep ladang tradisional yang menyebabkan pencemaran air dan bau.

“Sebab yang pentingnya adalah hendak tutup dahulu di Kuala Langat sebab ia sudah mencemarkan dan kita akan segerakan tempatnya (Bukit Tagar).

“Yang di sana (Bukit Tagar) itu, saya hendak tengok semua isunya dan bagaimana sistem kumbahan (diuruskan). Kalau kita berpuas hati, tidak perlu discharge (pembuangan sisa keluar) dan tidak memberikan risiko kepada kawasan sungai serta alam sekitar,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN