SHAH ALAM: Jabatan Tenaga Manusia (JTM) memeterai memorandum perjanjian (MOA) dengan Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES) hari ini bagi mewujudkan skim latihan penyelenggaraan pesawat.
Kerjasama tersebut membolehkan seramai 33 pelajar peringkat diploma dalam bidang tersebut daripada Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC JTM) memulakan latihan pada bulan ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia merupakan peluang kepada pelajar-pelajar semester enam menerima latihan dan juga diberi elaun sebanyak RM2,000 sebulan.
“Ia melibatkan Program Penyelenggaraan Kapal Terbang yang merupakan program berimpak tinggi dalam sektor high growth and high value (HGHV).
“Menerusi perjanjian itu, pelajar juga akan menerima Diploma Teknologi dan Persijilan Profesional Kategori A iaitu juruteknik pesawat bertauliah yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM). Mereka juga akan diberikan jaminan pekerjaan selepas habis latihan,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum antara Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Eke Nazri Rahim.
Ramanan berkata, ADTEC JTM menunjukkan pencapaian bagi kebolehpasaran graduan pada tahap 95.5 peratus bagi tahun lalu serta 97.2 peratus kadar kepuasan majikan.
“Setakat ini, kita ada lebih 400 syarikat besar yang menjalin kerjasama dengan ADTEC JTM seperti Proton, Petronas, Huawei, Epson dan sebagainya yang memberi peluang pekerjaan kepada pelajar apabila menamatkan latihan.
“Kita juga meletakkan sasaran untuk berkembang menjadi 660 syarikat menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN










