KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu dengan kerjasama pihak berkuasa memantau rapi aktiviti tidak bermoral yang didakwa menular di lokasi tumpuan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan destinasi pelancongan tidak dicemari anasir buruk.
Menurut beliau, tindakan tegas boleh diambil oleh pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya didapati ada pihak cuba membawa masuk gejala negatif ke negeri itu.
Razali menjelaskan, kerajaan negeri juga mahu semua pemain industri memainkan peranan dalam usaha mencapai sasaran kedatangan pelancong seramai 4.5 sehingga 5 juta orang pada tahun ini.
“Perjumpaan sudah dibuat sejak awal tahun bersama PDRM, penggiat pelancongan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan kebanjiran pelancong tidak berkait dengan aktiviti tidak bermoral.
“Kita sedar ada cakap-cakap melibatkan penyalahgunaan dadah atau persundalan di tempat tumpuan pelancong dan kita serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan jika ada didapati bersalah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Pelita Raya Terengganu (Peliter) di Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Razali berkata, pemain industri juga disaran membantu pihak berkuasa dalam memantau aktiviti tidak bermoral di pusat-pusat pelancongam.
Akhbar ini sebelum ini pernah melaporkan,
Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan, sebagai berkata, PDRM hasil maklumat orang awam telah mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah di Tasik Kenyir dan pulau peranginan di negara ini. – UTUSAN










