'Masih terngiang-ngiang jeritan minta tolong mangsa'

‘Masih terngiang-ngiang jeritan minta tolong mangsa’

PENDUDUK menunjukkan tempat berlaku kejadian kepala air menyebabkan empat sekeluarga maut di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor, Perak. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Meskipun beberapa hari sudah berlalu, jeritan meminta tolong mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur dekat Kampung Poh, Bidor di sini masih lagi terngiang-ngiang di telinga Wahiddin Bahaudin.

Mendiami rumah berhampiran lokasi kejadian menjadikan Wahiddin individu terawal yang menyaksikan detik-detik cemas pada Rabu lalu yang turut berusaha membantu menyelamatkan mangsa.

Menurut lelaki berusia 58 tahun itu, rasa sebak menyesakkan dadanya apabila mengenangkan usaha menyelamatkan mangsa gagal dan mereka hanyut di hadapan matanya.

Katanya, dia berusaha pelbagai cara termasuk menebang pokok pisang dan menumbangkannya ke dalam sungai untuk mangsa berpaut, berenang ke tengah sungai dan ikhtiarnya yang terakhir ialah melemparkan getah paip.

“Daripada empat mangsa yang saya lihat di tengah-tengah sungai, cuma seorang sahaja terselamat apabila dia mencapai getah paip yang saya lemparkan.

“Seorang lagi wanita yang memegang dua kanak-kanak pun sempat mencapai getah paip, namun selepas beberapa kali mencuba, dia beritahu penat sebelum terjatuh dan dibawa arus deras,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut pesara kerajaan itu, dia terus mengejar wanita itu sehingga terjumpa seorang lagi kanak-kanak lelaki berdiri di atas batu sambil menangis ketakutan.

Katanya, usaha menyelamatkan kanak-kanak tersebut dibantu seorang lagi penduduk kampung yang berada di lokasi berhampiran.

“Ralat sebenarnya kerana tidak dapat selamatkan kesemua mereka sedangkan jarak saya paling dekat dengan mangsa. Saya usaha sehabis baik namun kudrat saya pun terbatas.

“Sampai sekarang, saya masih lagi terbayang-bayang kejadian itu dan terdengar-dengar jeritan meminta tolong. Saya juga selalu fikir apa akan jadi jika saya buat begini dan begitu, tapi sudah kehendak tuhan, kita perlu reda,” katanya.

Wahidin memberitahu, kejadian kepala air memang sering berlaku di kampung tersebut tambahan lagi ketika musim hujan.

“Setiap kali ada orang mandi di sungai ini, saya memang akan selalu perhatikan dan pesan kepada mereka supaya naik, jika lihat cuaca tidak baik.

“Namun, pada hari kejadian, saya tidak nampak sesiapa pun kerana mereka berada di bawah jambatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Ridzuan Mohd. Azmi, 42, berkata, tanpa memikirkan keselamatan diri, dia nekad terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki.

“Saya bersyukur kanak-kanak itu dibawa cepat ke tebing kerana dalam tempoh lima minit, batu yang menjadi lokasi mangsa berdiri ditenggelami air. Ketika dibawa ke tebing pun, kanak-kanak itu menggigil kerana takut,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang Rabu lalu, enam sekeluarga bersama seorang pembantu rumah wanita warga Indonesia terperangkap dalam kepala air ketika melakukan aktiviti perkelahan.

Kejadian itu mengorbankan Aszura Bani, 37, dan tiga anaknya iaitu Hanna Mikayla Azam, 7; Hafiy Muhayat, 4; dan Hanum Marissa, 2, manakala kakak Aszura iaitu Aslinda, 38, dan anak lelakinya berusia 11 tahun serta pengasuh wanita warga Indonesia berusia 30-an terselamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×